Saturday, March 6, 2010

Persepsi Cinta

Bila kita berumur 7 tahun dan ditanya tentang cinta, kita akan terbayang tentang pelukan dan ciuman ibu bapa dan sanak saudara. Berumur 13, kita mula mengubah persepsi terhadap cinta, terutamanya bila kita sedang mengalami perubahan dari segi kematangan. Semua persepsi cinta terhasil daripada pemerhatian mata kasar kita.
Persepsi cinta semakin berubah apabila kita mula mendapat cinta pertama atau kita lebih gemar gelarkan dengan cinta monyet. Perasaan terawang-awang, senyum sorang-sorang dan hidup terasa ringan, adalah di antara keadaan yang kita alami ketika mendapat cinta monyet. Kita semakin teruja untuk dikejutkan dengan pengalaman-pengalaman baru yang biasa dilalui oleh pasangan bercinta. Kita mula menginginkan sentuhan dan kata-kata yang membuai. Hanya yang kuat dan mampu melihat mengunakan hati mampu mengatasi keindahan dunia percintaan yang membutakan mata.

Kehidupan dunia cinta sebenar hanya akan muncul apabila cinta monyet yang dilalui sepenuh hati pecah berderai dan hanya meninggalkan luka-luka kecil dan menyakitkan. Perjalanan hidup bermula dan kita menjadi semakin berhati-hati dengan kehidupan. Walaupun begitu, setiap cinta yang datang akan memberi perasan gembira yang berbeza tetapi perasaan sakit yang sama.

Bermula cinta pertama, kita akan mula mentertawakan cinta monyet yang kita anggap sebagai cinta sejati. Kita akan berterima kasih kepada cinta monyet yang membolehkan kita menilai kaca dan permata dari sudut pandangan kita sendiri. Pengalaman cinta sebenar ini akan diingati sepanjang hayat. Setiap patah kata, setiap seinci pergerakan dan setiap hembusan nafas menjadi kenangan yang tidak mungkin dibuang, seolah-olah kita dilahirkan bersama-samanya.

Pada cinta pertama ini, kita banyak menghadapi krisis dengan cara fizikal kita menerima setiap sentuhan dan kata-kata yang diberi oleh pasangan kita. Pada tahap ini, banyak perkara yang kita lakukan pertama kali dan keadaan pertama kali ini memberi badan kita dos hormon berlebihan, menyebabkan kita terkadang lupa dengan dunia luar.
Ingatkah kita pada perasan kita ketika pertama kali menerima sentuhan daripada pasangan kita. Sentuhan tangan yang dilakukan seolah-olah satu getaran elektrik yang boleh membuat kita menggigil pada kali pertama. Ciuman pertama yang kita terima membuat badan kita meraung untuk ciuman kedua. Badan kita seolah-olah menjadi segar dengan perasaan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Pelukan pertama membuat kita mahukan sentuhan yang bertahan lebih lama. Semua keindahan yang dialami ketika itu tidak mampu dikarang dan dijadikan cerita.

Perkahwinan merupakan kehidupan sebenar. Kepada pembaca diluar sana, sentuhan, ciuman dan kata-kata yang membuat badan kita bertindakbalas suatu ketika dahulu, jika diterima dengan terlalu banyak akan menyebabkan dunia perkahwinan menjadi cepat hambar dan tidak bermakna. Kita akan tercari-cari getaran yang wujud sebelum alam perkahwinan. Kita akan dahagakan perasaan luarbiasa yang kita alami dahulu.
Jika kita tidak dapat mencari semula semua keadaan tersebut, kita akan mula menjalani kehidupan perkahwinan dengan bekerja keras, pulang ke rumah hanya untuk merehatkan diri dan masa cuti dihabiskan dengan membaca suratkhabar atau majalah. Perbualan dengan jiran-jiran atau rakan-rakan menjadi lebih menarik daripada sentuhan pasangan.
Bila kita bersendirian, perasaan rindu itu akan muncul dan boleh mendesak kita melakukan perkara-perkara diluar batasan seprti bertindak mengenali orang baru yang boleh membawa kepada kecurangan. Kita pasti tidak melakukannya dengan niat, tetapi apabila kita melakukannya, kita akan berharap agar pasangan kita juga melakukan hal yang sama agar kita boleh menuding jari kepadanya dan mempunyai alasan kukuh untuk meneruskan hubungan yang mampu mengembalikan perasann dan getaran jiwa yang membuai seperti suatu ketika dahulu.

Bukankah percintaan itu sesuatu yang merumitkan? Kepada pembaca di luar sana, apakah perspektif cinta anda? Adakah cinta yang anda lalui sekarang cukup untuk membuat anda melalui kehidupan sebenar di alam perkahwinan atau adakah anda menerima terlalu banyak cinta sekrang hingga boleh merosakkan perkahwinan pada usia tahun ke 3?

Ingatlah pembaca semua, hanya ada 1 perkara daripada 3 perkara yang akan kekal semasa berkahwin; perilaku sebenar. 2 perkara lain seperti kata-kata dan pujuk rayu akan lenyap sebaik sahaja tahun kedua perkahwinan menjelang tiba. Jadi, jika anda memilih pasangan untuk dikahwini, satu perkara yang saya boleh nasihatkan; ambil masa anda. Jangan berkahwin kerana kepentingan orang lain, berkahwinlah dengan teman yang anda rasa boleh hidup bersamanya selama-lamanya, menerima kelemahan dirinya lebih daripada kelebihannya dan keutuhan imannya.

Kepada pembaca yang bakal melangsungkan perkahwinan, saya mengucapkan tahniah kepada anda dan semoga bahtera perkahwinan yang anda bakal lalui sentiasa dihujani cinta dan jauh dari kemarau. Kepada yang telah berkahwin dan terasa seperti telah membuat kesilapan, carilah sinar itu di dalam jiwa anda. Teruskan mencintai dan segarkan cinta yang layu dengan berusaha membajainya dengan kasih sayang.

1 comment: